Latar Belakang Akruan

Kerajaan Persekutuan kini mengamalkan asas perakaunan tunai ubahsuai iaitu satu kaedah perakaunan yang mengiktiraf dan merekod sesuatu urusniaga apabila tunai diterima atau dibayar dalam tempoh perakaunan tersebut. Di bawah kaedah ini, perbelanjaan aset tidak dipermodalkan dan liabiliti tidak dilaporkan di dalam penyata kewangan, segala perbelanjaan akan menggunakan peruntukan tahun semasa dan pembayaran dibuat sehingga bulan Januari tahun berikutnya.

Pelaksanaan perakaunan akruan sejajar dengan Dasar Transformasi Sektor Awam dalam Model Baru Ekonomi bertujuan memantapkan pengurusan fiskal berhemat serta mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan Kerajaan Persekutuan.

Perakaunan akruan mengiktiraf dan merekodkan urusniaga pada masa urusniaga berlaku. Di samping itu, semua aset dan liabiliti juga diperakaunkan di bawah perakaunan akruan. Semua urus niaga tersebut dilaporkan di penyata kewangan bagi tempoh tahun kewangan yang sama. Untuk tujuan ini, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) akan mengeluarkan Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia (MPSAS) yang berasaskan International Public Sector Accounting Standard (IPSAS).

Perbezaan di antara perakaunan tunai ubahsuai dengan perakaunan akruan adalah seperti di bawah:


 
  Asas Tunai Ubahsuai Asas Akruan
Hasil Diiktiraf/direkodkan hanya apabila tunai diterima. Diiktiraf/direkod dalam tempoh diperolehi (earned).
Perbelanjaan Diiktiraf/direkod hanya apabila bayaran tunai dilakukan. Diiktiraf/direkod dalam tempoh dibelanja/digunakan (incurred).
Aset Tidak dipermodalkan dan diiktiraf/direkod sebagai perbelanjaan pada masa pembayaran. Diiktiraf/direkod sebagai aset dan dipermodalkan dalam tempoh usia gunanya. Susutnilai dikenakan sepanjang tempoh usia gunanya.
Liabiliti Tidak dilaporkan dan diiktiraf/direkod sebagai perbelanjaan pada masa pembayaran. Diiktiraf/direkod dalam tempoh ianya ditanggung (incurred) sehingga dilunaskan.
Info Selanjutnya